Jumaat, 14 Januari 2011

Methodologi

Mana nak pergi sem ni


sumber dari http//:mmndvgs

Isnin, 18 Oktober 2010

Busana Muslimah: Di mana Islamnya?

“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!” Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)? Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing? Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada [...]


“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”

Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)? Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing? Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah. Itulah BUSANA MUSLIMAH.

LANDSKAP 1990′AN
“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat. “Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.
“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya. “Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.

Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang. Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita. Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa. Tudung juga tidak banyak jenis. Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam. Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.

LANDSKAP SEMASA
Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah. Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya. Baguslah begitu.

Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah. Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.

PENTAKRIFAN

“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]

Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah? Bagaimana dengan batas-batas Aurat?
Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.


Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]

Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?


Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!
Di manakah Islamnya?

Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.

Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.
Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi? Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.


BEBAS
“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul. “Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain. Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN. Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan). Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya. Kami cemburu dengan agama kami.

BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.



Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]
FULL STOP!

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/
68000 AMPANG

Menikmati Sebuah Rakaman Penderitaan

“Tengok ni. Ish… ngeri sungguh!” kata Abu.
“Pergh… sampai patah dua pinggang dia. Mesti mati punya tu!” ulas Ali pula. “Aku pernah tengok accident lebih kurang macam ni. Memang termuntah aku dibuatnya” Ali menyambung cerita. Mereka berdua tercegat di hadapan skrin komputer menonton klip video yang memaparkan imej seorang lelaki yang badannya terlipat dua dan berlumuran darah kerana digilis sebuah lori besar. Pemandangan yang sepatutnya amat mengerikan itu, tanpa disedari berubah menjadi satu bentuk keseronokan dan kepuasan hingga tanpa bertangguh, Abu segera menekan butang share di rangkaian halaman sosial Facebook beliau agar pemandangan ngeri itu boleh ditonton oleh orang lain pula.


Tabiat ini juga membabitkan foto-foto anak kecil di Palestin yang hilang separuh kepala akibat letupan bom, atau imej wanita di sebuah negara direjam dengan batu bata hingga berkecai muka dan kepalanya. Siri ini berterusan tanpa henti. Ada garis pemisah yang halus di antara sisi baik keadaan ini, dengan sisi buruknya. Ramai di kalangan pengguna internet menyebarkan foto dan klip video seperti ini dengan tanggapan bahawa ia adalah materi yang berkesan untuk menimbulkan kesedaran. Ingat mati. Bersyukur dengan keselamatan. Mengambil iktibar. Bertaubat. Semua itu mewarnai lapisan pertama motif mengapa mereka gemar kepada bahan-bahan yang mengerikan seperti ini. Tetapi ketika mana perbuatan menonton dan menyebar bahan sebegini berubah menjadi seperti suatu ketagihan, ia bukan lagi sebuah keprihatinan. Sebaliknya ia berubah menjadi penyakit mental!
‘Keinsafan’ yang dirasai itu bukan lagi sebuah keinsafan, sebaliknya kepuasan luar biasa, hasil melihat dan mengulang lihat foto serta imej yang ngeri itu.




REGARDING THE PAIN OF OTHERS: SUSAN SONTAG




Lambakan foto peperangan ini mengingatkan kita kepada sebuah buku yang secara khusus membincangkan tentang implikasinya terhadap jiwa manusia. Susan Sontag (1933 – 2004), di dalam bukunya, Regarding the Pain of Others meneliti secara terpeinci berkenaan dengan peranan yang dimain serta ditinggalkan oleh foto kepada jiwa dan moral manusia. Fotografi yang kini menjadi sesuatu yang boleh dilakukan dan dinikmati hasilnya oleh sesiapa sahaja, telah membentuk satu kod visual yang baru. Di satu ketika, manusia menghadkan hak dirinya untuk melihat apa yang hanya bersangkutan dengan dirinya, lambakan foto semasa telah mengubah itu kepada suatu tanggapan bahawa setiap kita boleh berasa mahu dan berhak untuk menatap hampir apa sahaja yang boleh divisualkan di dalam bentuk foto. Ini merupakan satu set pemikiran yang baru, yang mungkin kita sendiri tidak sedar akan kewujudannya setiap kali kita berada di atas talian (online).



Fotografi daripada satu sudut yang lain, membantu kita di dalam proses pendidikan. Ia membantu kita meluaskan penglihatan ke masa silam dan mencapah realiti semasa, sedangkan tanpa foto hanya segelintir sahaja di kalangan kita yang tahu bagaimanakah yang dikatakan Piramid di sebuah negara bernama Mesir. Namun, apa yang paling menjadi tumpuan kebimbangan kita adalah sentuhan tentang PEMBIUSAN FOTO.



Lambakan foto kejam berkaitan dengan peperangan, pembunuhan atau kemalangan telah membunuh sensitiviti para penatap. Desensitization yang berlaku itu memberikan kesan yang amat buruk kepada jiwa manusia. Sontag sendiri bercerita tentang pengalaman dirinya berkenaan hal ini.



Dirinya sebagai seorang remaja, pengalaman melihat imej-imej Holocaust Camps, mencetuskan sesuatu yang membimbangkan. Katanya, “when I looked at those photographs something broke… something went dead, something is still crying.” Entah di mana kebaikannya bagi seorang remaja untuk beliau mengakses imej-imej tersebut tanpa pengetahuan dan kematangan yang sebenar di dalam memahami apakah Holocaust itu sendiri. Apa yang pasti, imej-imej itu menjadi seperti bius, meninggalkan rasa lumpuh dan kebas pada jiwa hingga hilang sensitiviti terhadap REALITI. Images anesthetize dan akses tanpa had, adalah implikasi negatif daripada lambakan foto sadistik ini.





ASHAAB AL-UKHDOOD DAN SCHADENFREUDE
Kisah Ashaab al-Ukhdood amat menyayat hati. Pemerintah yang zalim, berasa amat tergugat dengan keimanan yang dijulang oleh seorang remaja, telah mencetuskan fenomena apabila kematiannya akibat pembunuhan yang beliau sendiri ajarkan kepada pihak pemerintah itu, menyebabkan masyarakat berpaling daripada mentaati raja kepada mengimani Tauhid Allah Subhanahu wa Ta’aala. Ikhtiar akhir… mereka dibunuh. Pembunuhan beramai-ramai itu pula dibuat dalam bentuk yang paling kejam. Sebuah parit besar disediakan. Api yang marak dinyalakan. Orang-orang yang beriman dicampak atau dipaksa terjun ke dalam kemarakan api itu. Termasuk kanak-kanak dan bayi yang belum mengerti.



Bagaimanakah jika pemandangan ini diimejkan? Sebelum soalan itu dijawab, ayuh kita lihat bagaimanakah Allah Subhanahu wa Ta’aala membentangkan kisah ini:
“Celakalah kaum yang menggali parit itu. Parit yang penuh dengan api yang dinyalakan itu. (Mereka itu dilaknat) tatkala kejadian (yang mengerikan) itu mereka duduk mengelilinginya. Mereka itu, perbuatan kejam yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman… disaksikan (dengan kepuasan). Dan tidaklah mereka melakukan sedemikian rupa melainkan kerana dendam mereka hanya kerana kaum tersebut beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” [al-Burooj 85: 4-8]

Jiwa penjenayah itu berada di kemuncak kejam. Mereka bukan sahaja membunuh kaum yang beriman itu dengan membakarnya, malah mereka duduk di keliling parit berapi, menikmati pemandangan yang sangat kejam itu. Jiwa manusia apakah ini? Manusiakah mereka? Tingkah laku yang amat buruk ini boleh difahami sebagai fenomena Schadenfreude. Ia adalah perkataan yang berasal daripada Bahasa Jerman yang memberikan maksud, KEPUASAN YANG DINIKMATI DARIPADA PENDERITAAN ORANG LAIN. Ia adalah suatu kecacatan jiwa yang amat luar biasa. Menonton atau menyaksikan pemandangan-pemandangan ngeri, sama ada secara realiti, video atau foto, telah dikaji pada tahun 2009 dan hasilnya memperlihatkan bagaimana perbuatan tersebut telah mengaktifkan anterior cingulate cortex di dalam otak, iaitu bahagian yang turut berfungsi sebagai pusat penganugerahan otak. Timbul rasa nikmat, puas bersama rembesan oxytocin [Simone G. Shamay-Tsoorya, et. al., "Intranasal Administration of Oxytocin Increases Envy and Schadenfreude (Gloating)," Biological Psychiatry, Volume 66 Issue 9, Pages 864–870 (1 November 2009)].


Jangan tertipu dengan fungsi foto.Pendedahan yang asalnya bermaksud mahu mencetuskan kesedaran, berubah menjadi pembiusan jiwa yang mematikan sensitiviti. Adakah anda membaca berita dengan hanya menatap slide BERITA BERGAMBAR? Anda sentiasa tertarik pada imej darah, kecederaan, kesakitan, penderaan, pembunuhan dan kematian? Adakah anda mendapat tabiat suka menghantar gambar-gambar sadistik itu melalui emel ke kenalan dan bukan kenalan? Adakah ada mempunyai tabiat gemar mengedit gambar-gambar anak Palestin yang cedera parah dan terbunuh, lalu menghasilkan poster tanpa disuruh? Tanyalah kepada diri.


Pada usia 35 tahun, saya menganalisa diri, sejauh manakah kemudahan liputan dan foto kekejaman peperangan di Palestin, kemalangan di jalanraya Malaysia, menambah TINDAKAN saya seperti yang sepatutnya. Atau segala-galanya berubah menjadi BIASA?


ABU SAIF @ www.saifulislam.com68000 AMPANG

Selasa, 14 September 2010

Seni di Malaysia

Sejarah Awal Seni Visual

Terdapat kepercayaan bahawa pengembara- pengembara Eropah dan Inggeris telah meminta pelukis-pelukis negeri-negeri Selat yang berketurunan Cina atau Melayu untuk melukis gambaran kehidupan tempatan yang bermotifkan flora dan fauna. Ini disebabkan oleh minat mereka atau sebagai rekod sejarah. Lukisan-lukisan dan catan-catan tersebut banyak ditempah oleh pegawai-pegawai Syarikat Hindia Timur yang ditempatkan di Malaya.

Pihak Inggeris telah memperkenalkan genre lukisan/ catan lanskap dalam aliran Realisme, zaman Pre-Raphelites, Turner dan Constable. Ini telah berterusan sehingga abad ke 19 apabile Seni Eropah terutamanya Seni Perancis mula memberi kesannya kepada seluruh rantau dengan pergerakan-pergerakan seni seperti aliran Impresionisme, Kubisme, Surealisme, Futurisme dan Konstruktivisme.

Sumbangan golongan Cina kepada perkembangan seni Malaysia dan Singapura berpunca daripada pendatang dan pelawat Cina seperti Xu Beihong yang telah bermastautin di Pulau Pinang untuk beberapa tahun. Mereka juga telah berkunjung ke Singapura untuk sesuatu jangka masa. Mereka telah menerima pendidikan dalam lukisan berus Cina dan kaligrafi di China.

Pada mulanya penghijrah-penghijrah awal dari China adalah untuk mencari sara hidup. Seni halus tidak pernah difikirkan . Hanya selepas mereka bertapak kukuh dan berjaya dalam kehidupan, barulah terdapat beberapa penghijrahan berdasarkan kretiviti artistik mereka. Terdapat yang terlibat dalam pendidikan Seni dan ada pula yang menjadi pelukis amatur. Antara yang berjaya dalam bidang seni ialah Lee Kah Yeow, Wang Yau, Reverend Chuk Mor, Reverend Pak Yuen, Chai Horng, Chung Hong Kong dan Zhen Wei Sin. Kesimpulannya pada awal tahu 1920an terdapat pelukis yang mempamerkan hasil karyanya. Pameran seni lukis yang terawal di singapura ialah pameran Lian Xiao Oh pada tahun 1924. Disusuli pula dengan pameran pastel He Qui Qo pada tahun 1926.

Aktiviti-aktiviti seni yang awal di Pulau Pinang bermula apabila pengasasan Pulau Pinang pada tahun 1786 oleh Sir Francis Light di bawah Syarikat Hindia timur. Pelukis-pelukis Inggeris yang tinggal di Pulau Pinang gemar melukis pemandangan laut dan keindahan alam semulajadi pulau itu. Kemungkinan terdapat pelukis tempatan yang membekalkan lukisan-lukisan kepada para penaung Syarikat Peniagaan Eropah.

Perkembangan seni lukis moden boleh dikesan sehingga tanuh 1920an semasa kumpulan penang Impressionist ditubuhkan. Kumpulan ini terdiri daripada ekspatriat Eropah yang kebanyakannya merupakan surirumah bangsa Inggeris. Disebabkan sikap-sikap kolonialistik pada masa itu, pelukis-pelukis tempatan Pulau Pinang tidak dibenarkan menyertai Penang Impressionist. Dua orang pelukis tempatan yang diterima menganggotainya ialah Puan Lim Cheng Kung dan Abullah Ariff. Abdullah Arif diterima dalam kumpulan itu kerana perkhidmatan beliau sebagai pendidik seni diperlukan, manakala Puan Lim pula isteri seorang jutawan yang dapat memberi sokongan kewangan.

Tahun 1920an merupakan peringkat yang penting dalam sejarah seni lukis Pulau Pinang. Yong Mun Seng telah datang ke Pulau Pinang dari Singapura dan mendirikan studio seninya. Pelukis pertama yang mengadakan pameran seni lukis di Malaysia adalah Ooi Hwa yang telah mempamerkan karya-karyanya di Pulau Pinang pada tahun 1927. Ooi Hwa dan Lee Cheng Yong mungkin merupakan pelukis pertama yang pergi ke luar negeri untuk mempelajari seni di Akademi Seni Halus Shanghai. SITC (Sultan Idris Training College) ditubuhkan pada tahun 1922. Mata pelajaran Pendidikan Seni diajar di samping subjek-subjek lain. Komponen subjek Pendidikan Seni diajar bersama-sama dengan pertukangan tangan seperti membuat bakul dan lain-lain seni pertukangan rakyat ketika itu.

Sukatan Pelajaran yang digunakan adalah pelajaran menggunakan mengkuang untuk membuat bakul bagi tahun pertama. Mereka dikehendaki mencipta corak-corak baru dengan menggunakan rotan dan buluh. Kerja-kerja tahun pertama disambung pada tahun ke dua dan penggunaan rotan dan buluh adalah lebih meluas lagi pada tahun ke tiga. Buku teks yang digunakan ialah ’Kitab Rajah-rajah Anyaman’ oleh guru anyaman Mr. W. Olaguera.

Penuntut-penuntut diberi pilihan untuk pertukangan kayu bagi melatih membuat perabot-perabot seperti meja kecil, almari buku, tongkat dan sebagainya. Dalam tempoh tiga tahun terdapat enam kelas pertukangan kayu. Pilihan seterusnya adalah menjilid buku di mana hanya sebahagian kecil penuntut tahun tiga sahaja yang mengikutinya. Menganyam jaring bagi permainan bola sepak, hoki dan bola tampar. Pertukangan tanah liat di mana hanya sebilangan penuntut sahaja dipilih untuk belajar membuat tempat bunga, periuk dan lain-lain daripada tanah liat.

Pada tahun 1935, sekumpulan pelukis di Singapura merupakan penuntut Sekolah Seni Halus Shanghai, Sekolah Seni Shanghai dan Universiti. Mereka telah menubuhkan Salon Art Studies Society yang kemudiannya ditukar kepada Persatuan Pelukis-pelukis Cina.

Persatuan ini menumpukan perhatian kepada perlaksaan pameran karya-karya pelukis asing, terutamanya karya pelukis-pelukis HongKong dan Cina. Pelukis tempatan turut diberi peluang untuk meluaskan pengalaman. Pameran tahunan mereka telah menjadi tradisi berterusan tanpa sebarang sekatan melainkan pada tahun-tahun peperangan 1942 hingga 1945. Ramai ahlinya merupakan staf Akademi Seni Halus Nanyang.

Akademi Seni Halus Nanyang diasaskan pada tahun 1938 oleh pengetuanya, Lim Hak Tai. Lim Hak Tai, seorang pelukis ternama dan berwawasan memperkembangkan kesenian dengan menubuhkan institusi yang pertama dan paling lama di Singapura. Di antara pelukis-pelukis terkenal yang menjadi tenaga pengajar ialah Cheong Soo pieng, Georgette Chen Li Ying, Chen Wen His dan Chen Chong Swee. Para pelukis ini telah datang ke Singapura selepas Perang Dunia ke Dua. Mereka dilatih di akademi-akademi Seni di Shanghai, kanton dan Amoy. Mereka juga didedahkan kepada pengaruh modenis aliran-aliran di Paris.

Pelukis-pelukis Nanyang memainkan peranan yang besar dalam perkembangan tradisi seni moden di Malaysia dan Singapura melalui aktiviti-aktiviti mereka. Mereka terkenal kerana menggabungkan konsep Barat dan Timur dalam hasil karya mereka, yang kemudiannya dikenali sebagai Nanyang. Apabila Cheng Yong kembali pada tahun 1932, beliau mengadakan pameran solo di Philomatic Union, Acheen Street. Pameran ini telah memberi kesedaran kepada pelukis-pelukis tempatan yang telah melukis bersendirian dan tidak sedar akan kewujudan pelukis-pelukis lain.

Pada tahun 1936, pelukis-pelukis Cina telah berkumpul di bawah pengaruh Yong Mun Sen, dan menubuhkan Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang. Di antara pengasas kelab ini termasuklah Lee Cheng Yong sebagai Presiden, Yong Mun Seng sebagai Timbalan Presiden, Quan Kuan Sin sebagai setiausaha, Tay Hooi keat sebagai bendahari dan Kuo Ju Ping, Tan Seng Aun, Tan Gek Khean serta Wan Fee sebagai ahli jawatan kuasa. Mereka telah mengadakan Pameran seni dan Fotografi yang pertama. Kebanyakan karya yang dipamerkan adalah mengikut aliran Realisme Barat dan Post Impressionism di samping beberapa lukisan berus Cina tradisional. Pelukis-pelukis di seluruh Malaysia dan singapura telah diundang untuk menjayakan pameran ini. Pada tahun 1937, kumpulan Penang Impressionist yang mengadakan pameran tahunan secara tetap, telah menjemput ahli-ahli Kelab Seni Lukis Cina pulau Pinang. Jemputan ini amat menggalakkan pelukis-pelukis tempatan memberi sumbangan yang positif. Pameran ini merupakan pameran terakhir Penang Impressionist sebelum dibubarkan sebelum bermulanya Perang dunia Kedua. Kebanyakan ahlinya yang aktif telah pulang ke Eropah atau pun telah dipindahkan.

Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang telah mengadakan dua atau tiga lagi pameran di bawah pimpinan Lim Cheng Ean (ayah P.G. Lim dan Lim Kean Siew, pengumpul karya seni) dan seterusnya dipimpin oleh Ong Keng Seng. Ketika peperangan, aktiviti-aktiviti pertubuhan terpaksa diberhentikan untuk sementara waktu kerana kawalan keselamatan yang dikenakan di kawasan desa dan pantai. Akhirnya, pertubuhan ini dibubarkan sebelum kemaraan jepun pada tahun 1941. Pada tahun 1949, persatuan seni Singapura telah ditubuhkan oleh beberapa ekspatriat seperti Dr. Gibson-Hill yang mengetuai Raffles Museum and Library, Richard Walker yang merupakan pengetua Seni Sekolah-sekolah Singapura, Francis Thomas iaitu guru Sekolah St Andrews, Suri Mohgani iaitu pelukis tempatan dan Liu Kang yang juga Presiden persatuan tersebut. Walau pun Liu Kang bukan seorang guru seni beliau disanjung tinggi sebagai pelukis yang cekap dan penglibatan aktifnya dalam Persatuan Pelukis Cina dan Persatuan Seni Singapura.


Persatuan Seni Singapura mengadakan pameran-pameran dan aktiviti-aktiviti seni di dalam dan di luar negeri yang dibuka kepada semua pelukis tanpa mengira bangsa dan darjat. Walker, pelukis mahir aliran Impressionisme telah melatih beberapa pelukis terkemuka seperti Lim Cheng Hoe. Lim diiktiraf sebagai pelukis cat air yang terunggul di mana beliau juga memberi ilham serta menjadi mentor kepada golongan pelukis generasi ini. Lee Man Fong, pelukis penting dalam seni lukis Singapura berhijrah ke Singapura dari Indonesia pada tahun 1967. Dilahirkan di Kanton, China pada 1913, beliau berpindah ke Jakarta pada 1932 dan bekerja sebagai pelukis komersil. Pada tahun 1947, beliau mendapat biasiswa kerajaan Belanda untuk menuntut kesenian di negeri Belanda. Beliau seterusnya dilantik sebagai pelukis Istana Presiden oleh Presiden Sukarno.

Pada Disember, 1941 pendudukan jepun telah mengekang semua aktiviti kebudayaan. Kempeitai iaitu polis tentera Jepun telah mengawasi kumpulan-kumpulan kebudayaan China. Rekod-rekod dan bukti-bukti fotografik lawatan Kelab Seni Lukis China Pulau Pinang telah dibakar sebagai langkah berjaga-jaga. Pada tahun 1945 keseniang di Pulau Pinang telah dihidupkan semula dengan penubuhan Kumpulan Pendidik Seni Pulau Pinang di bawah Jabatan Pendidik Seni, Pulau Pinang. Pada tahun 1948, Tay hooi Keat menjadi warganegara Malaysia pertama yang pergi ke Britain untuk mempelajari seni lukis di Camberwell School of Art. Setelah perang tamat, pusat seni telah beralih dari Paris ke New York. Para pelukis Amerika Syarikat memulakan pergerakan seni seperti Action painting, Ekspressionisme abstrak, Seni Pop, Seni Op, Performance Art, Minimalisme, Seni Konseptual dan sebagainya. Pelukis-pelukis tempatan yang pergi ke luar negeri turut terdedah kepada pelbagai pengaruh aliran seni.

Selepas perang tamat, Pulau Pinang menjadi pusat daya tarikan para pelukis. Frank Sullivan, penaung seni yang terkenal telah menemui Mohd Hoessein Enas di Pulau Pinang pada tahun 1949 dan telah menggesa beliau berpindah ke Kuala Lumpur . Hoession seterusnya menubuhkan Angkatan Pelukis semenanjung dan menjadi tokoh seni kebangsaan yang terkenal. Tahun 1950an

Pada tahun 1952, Majlis Pendidik Seni Pulau Pinang telah ditubuhkan dan diterajui oleh Tay Hooi Keat sebagai pengerusi. Di antara ahli-ahlinya adalah Lee Joo For, Tan Tin Kok, Kim Tong Juan, Tan Lye Hoe dan Chee Wee Sun. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri guru-guru sekolah aliran Bahasa Inggeris. Tay Hooi Keat yang kembali ke Pulau Pinang dari United Kingdom memperkenalkan konsep-konsep baru yang memeranjatkan masyarakat seni lukis tempatan.

Pada tahun 1952 juga Cheong Soo Pieng, Chen Chong Swee, Chen Wen His dan Liu Kang berkunjung ke Bali. Sekembalinya dari Bali mereka mengelolakan pameran bertajuk ’Empat Pelukis Kembali’ yang menyebabkan penciptaan susuk tubuh badan yang dikaitkan dengan seniman Nanyang. Pameran ini telah mendorong ramai pelukis tempatan seperti Khaw Sia membuat lawatan melukis ke Bali. Seterusnya pada tahun 1952 juga, Majlis Kesenian ditubuhkan untuk memberi sokongan, menjaga dan menggiatkan aktiviti-aktiviti dalam pelbagai bidang seni dengan bantuan kerajaan.

Pada tahun 1953, Persatuan Seni Pulau Pinang ditubuhkan di bawah pimpinan Loh Cheng Chuan. Majlis Kesenian Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun yang sama dengan souter sebagai Presiden, Tay Hooi Keat sebagai setiausaha dan A Sabapathy sebagai bendahari dan juruaudit. Kedua-dua pertubuhan ini telah mengadakan pameran-pameran seni secara tetap untuk ahli-ahli mereka. Mereka menganjurkan pameran solo untuk para pelukis tempatan serta pelukis luar negara yang membuat lawatan. Wednesday Art Group telah ditubuhkan pada tahun 1952 di Kuala Lumpur oleh Peter Harris. Pada awalnya terdapat kekurangan kegiatan seni yang serius di Kuala Lumpur. Peter Harris merupakan Penguasa Seni di Kementerian Pendidikan dan beliau adalah lepasan sekolah seni di United Kingdom. Beliau memperkenalkan estetik dan teknik seni lukis moden kepada guru-guru dan pelukis muda tempatan yang berminat. Di antara pelukis-pelukis yang mendapat tunjuk ajar dan galakan beliau ialah Patrick Ng, Cheong Lai Tong, Zakariah Noor, Ismail Mustan, Dzulkifli Buyong, Ho Kai Peng, Liu Siat Mooi, Grace Selvanayagam, Phoon Poh Hoon, Jolly Koh dan Syed Ahmad Jamal.

Pada tahun 1954, Persatuan Seni Selangor telah diasaskan oleh ekspatriat dan ahli-ahli seperti Fung Yow Chork, Zakariah Noor, Yong Peng Seng, Chong Hooi Fah, Syed Zainal dan Chong Sing Kwai. Kumpulan ini bertemu seminggu sekali pada hari Khamis di Sekolah Lelaki Methodist untuk membuat catan potret, figuratif, lukisan dan lakaran. Angkatan Pelukis Semenanjung iaitu APS yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Pelukis Se Malaysia ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1956 oleh Mohd Hossein Enas. APS bertujuan untuk mengumpul serta menyatupadukan pelukis-pelukis Melayu. Ahli-ahlinya telah mencontohi penasihat mereka, Mohd Hoessein Enas yang terkenal kerana potret realistik dalam cat minyak dan pastel. Antara yang terkenal dalam persatuan ini ialah Idris Salam, Mohd Sallehuddin, Sabtu Mohd Yusof, Mazli Mat Som, Ahmad Hassan, Yusof Abdullah dan Zakariah Noor.

Pada tahun 1957, Thursday Art Group telah ditubuhkan di Pulau Pinang dengan matlamat yang sama dengan Wednesday Art Group. Ahli-ahli terdiri daripada Abdullah Ariff, Tay hooi Keat, Kuo Ju Ping, Lee Joo For, Lim Tong Juan dan William K.K. Lau. Mereka memperkenalkan konsep-konsep baru, mengadakan kelas-kelas melukis, sesi perbincangan dan pameran. Menjelang kemerdekaan seni telah menjadi salah satu simbol kepada perpaduan kaum di Malaysia. Persepsi masyarakat terhadap seni telah mula berubah. Seni daripada taraf rendah (kedaerahan) meningkat ke peringkat antarabangsa.

Pada tahun 1957 Frank Sullivan telah dilantik sebagai setiausaha akhbar kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya yang pertama. Ini membawa kesan yang mendalam dalam perkembangan seni Malaysia kerana usaha-usaha Sullivan yang bersungguh-sungguh untuk memperkenalkan para pelukis tempatan serta karya-karya mereka. Balai Seni Lukis Negara di 109, Jalan Ampang telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 27 Ogos 1958. Pameran pembukaan telah memaparkan karya-karya Chen Wen His, Cheong Lai Tong, Chuah Thean Teng, Mohd Hoessein Enas, Nik Zainal Abidin, Peter Harris, Patrick Ng, Syed Ahmad Jamal, Tay Hooi Keat dan Yong Mun Sen.

Selain Frank Sullivan yang menjadi setiausaha selama sepuluh tahun, antara yang telah membangunkan Balai Seni Lukis Negara adalah Tan Sri Mubin Sheppard, Tan Sri Ghazali Shafie, Tan Sri Dato’ Azman Hashim, Tan Sri Kamarul Ariffin, Tan Sri Zain Azraii, Professor Ungku Aziz, Puan P.G. Lim dan ramai lagi. Balai Seni Lukis Negara memperolehi koleksi tetapnya secara beransur-ansur. Dua koleksi yang menarik ialah gambar foto burung Dato’ Loke Wan Tho dan Koleksi hasil-hasil kaligrafi dinasti Sung yang didermakan oleh Lee Kah Yeow bernilai 2 juta ringgit.

Pelukis Malaysia pertama yang mengadakan pameran solo di seberang laut ialah Chuah Thean Teng yang diadakan di London pada tahun 1959. dan dipersembahkan oleh Majlis Kesenian Persekutuan. Catan batik eksotik yang dihasilkan sejak beliau membuka Yahong Gallery pada tahun 1955 telah meninggikan taraf batik daripada hasil pertukangan tangan kepada bentuk seni halus. Kejaan Chuan telah membawa seni Malaysia kepada seni antarabangsa. Seterusnya pelukis-pelukis batik yang lain seperti Khalil Ibrahim, Tay Mo Leong dan Toya turut menerima pengiktirafan antarabangsa.

Tahun 1960an
Seni lukis aliran utama 1960an adalah dengan nilai-nilai mistikal dan semesta telah menarik perhatian audien untuk menghayatinya kerana mempunyai kelainan. Dengan adanya tradisi seni khat telah membentuk satu pengucapan gambaran yang tersendiri. Lahir pandangan yang kritikal terhadap seni lukis. Pelbagai aktiviti dijalankan melalui saluran media massa. Antaranya ialah perbincangan, ceramah, syarahan, laporan, pameran dan sebagainya. Acara-acara seni lukis menjadi acara gemilang yang dihadiri oleh pelukis-pelukis, pencinta seni, ahli politik dan diplomat.

Special Teachers Training Institute (STTI) ditubuhkan pada tahun 1960 yang kemudiannya ditukar kepada Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK). Guru-guru yang berminat di bidang seni diberi peluang melanjutkan pelajaran melalui kursus sepenuh masa selama satu tahun. Mereka yang menunjukkan bakat besar dihantar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Golongan pelukis-pelukis dan pendidik seni telah menjadi tenaga utama seni lukis pada lewat tahun 1960an. Kakitangan akademik Jabatan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas seperti Syed Ahmad Jamal, Anthony Lau, Lee Joo For, Cheong Laitong, Jolly Koh dan lain-lain lagi memainkan peranan yang penting dalam seni lukis avant-garde di negara ini. Institusi Senilukis yang pertama ditubuhkan ialah Malayan Institut of Art pada tahun 1966. Institusi persendirian ini menawarkan kursus-kursus diploma selama tiga tahun dalam bidang Fine Art, Commercial Art dan Interior Design di samping kursus-kursus sambilan.

Penubuhan Institut Teknologi Mara pada tahun 1967 telah melahirkan sekumpulan tenaga baru pendidik seni dan usahawan-usahawan Melayu dalam bidang seni tertentu. Ia menawarkan kursus diploma selama empat tahun dalam bidang Fine Arts (Painting and Sculpture), Graphics, Photography, Fine Metal, Pottery and Ceramics, Textiles, Fashion dan Industrial Design.

Kuala Lumpur College of Art telah ditubuhkan dalam tahun 1968 dengan menawarkan kursus diploma selama tiga tahun dalam bidang Painting, Sculpture, Ceramics, Chinese Brush Painting, Photography dan Commercial Art. Tahun 1970an

Awal tahun 1970an pensyarah-pensyarah Intitut Teknologi Mara telah mengambil alih tempat avant-garde. Mereka terdiri dari kumpulan ’New Scene’ seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Haji Esa, Chong Kam Kow, Tan Teong Eng, Joseph Tan dan lain-lain lagi. Kumpulan ini telah mendebarkan keadaan seni lukis tempatan dengan ungkapan-ungkapan yang mencabar. Pendekatan gaya catan mereka yang berasaskan optik dan maklumat telah mengejutkan pelukis-pelukis tempatan dan masyarakat umum.

Pelukis-pelukis bukan sahaja berkarya dalam bidang minimal, pop, op dan lain-lain aliran semasa tetapi juga menyarankan seni melibatkan kepintaran, nilai-nilai mistika dan metafisika iaitu maklumat dan ilmu yang luar dari bidang catan. Catan hard-edge yang menegaskan kedataran dan tanpa isyarat yang dipelopori oleh Chong Kam Kow, Tan Teong Eng dan Tong Tuck telah mempunyai ikutan yang teguh di awal 1970an.

http://smktphpsv.wordpress.com/2010/01/26/sejarah-seni-3

Ahad, 22 Ogos 2010

penggiat seni-berkaligrafi

Galeri: Adunan khat Ramadan
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim ,Berita Harian Online

2010/08/20
Bantu Mohd Hairul Mohd Sin cipta nama

PENCINTA karya seni khat pasti puas jika berkunjung di Tenggiling Studio, Pasar Seni, Kuala Lumpur yang mengangkat keistimewaan seni kaligrafi Islam, bukan saja terpancar dari segi jenis khatnya, tetapi juga jiwa dan perasaan yang diadun dalam karya.

Sempena kedatangan Ramadan, pelukis, Mohd Hairul Mohd Sin, yang sebelumnya lebih gemar menghasilkan potret dan karya abstrak, memilih seni khat sebagai daya penarik untuk mendekatkan umat Islam dengan hasil kaligrafi bernafas keagamaan.
Kebiasaannya, karya seni khat seperti ini dibeli syarikat korporat untuk majlis rasmi, namun ada juga peminat lukisan meminta saya menghasilkan karya mengikut cita rasa mereka. Misalnya baru-baru ini saya menerima tempahan menulis surah Al-Fatihah berlatarkan pemandangan.
Bagi menampilkan kelainan berbanding karya pelukis mapan yang lain, saya masih menonjolkan keaslian tulisan khat, namun pada masa sama memilih warna segar dan moden untuk menarik perhatian pengunjung, katanya pada pertemuan dengan Galeri.

Ketelitiannya dalam menghasilkan tulisan khat dapat dilihat menerusi karya Nama Allah dan Nama Nabi yang menggunakan akrilik berasaskan air dengan sentuhan moden termasuk pemilihan warna merah bagi menyerlahkan tulisan khat.

Begitu juga dengan Kebesaran Allah SWT yang dilihat seperti hasil pantulan pada cermin dengan menggunakan warna keemasan pada perkataan Allah.

Menceritakan pahit getir sepanjang menelusuri dunia lukisan, Hairull mengakui tidak mudah mencipta nama dalam dunia lukisan khususnya karya abstrak, potret dan seni khat meskipun selepas penggalian ilmu di Institut Bina Usahawan (Edi) sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini disebabkan industri seni tempatan mempunyai ramai nama besar, tetapi disebabkan minat yang mendalam untuk memperkembangkan karya abstrak, potret dan khat, akhirnya saya berjaya memiliki galeri hasil perkongsian dengan rakan, Abdul Aziz Alias.

Nasib menyebelahi saya apabila kebanyakan karya mendapat perhatian, malahan usaha menempatkan diri sebaris dengan pelukis mapan, mendapat perhatian Astro melalui program Merisik Khabar yang membantu meningkatkan ilmu seni melalui kelas intensif, katanya.

Justeru, beliau bakal menganjurkan pameran solo pada hujung tahun ini yang menampilkan karya potret dan abstrak melalui lakaran atas kanvas sebagai langkah permulaan menempatkaan diri sebaris pelukis mapan tempatan.


Video: cara menulis huruf ha' Khat thuluth dengan timbagan huruf. Bukan senang untuk menghasilkan khat bagi orang yang tidak tahu. Maka, tuntutlah ilmu itu.