Ahad, 22 Ogos 2010

penggiat seni-berkaligrafi

Galeri: Adunan khat Ramadan
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim ,Berita Harian Online

2010/08/20
Bantu Mohd Hairul Mohd Sin cipta nama

PENCINTA karya seni khat pasti puas jika berkunjung di Tenggiling Studio, Pasar Seni, Kuala Lumpur yang mengangkat keistimewaan seni kaligrafi Islam, bukan saja terpancar dari segi jenis khatnya, tetapi juga jiwa dan perasaan yang diadun dalam karya.

Sempena kedatangan Ramadan, pelukis, Mohd Hairul Mohd Sin, yang sebelumnya lebih gemar menghasilkan potret dan karya abstrak, memilih seni khat sebagai daya penarik untuk mendekatkan umat Islam dengan hasil kaligrafi bernafas keagamaan.
Kebiasaannya, karya seni khat seperti ini dibeli syarikat korporat untuk majlis rasmi, namun ada juga peminat lukisan meminta saya menghasilkan karya mengikut cita rasa mereka. Misalnya baru-baru ini saya menerima tempahan menulis surah Al-Fatihah berlatarkan pemandangan.
Bagi menampilkan kelainan berbanding karya pelukis mapan yang lain, saya masih menonjolkan keaslian tulisan khat, namun pada masa sama memilih warna segar dan moden untuk menarik perhatian pengunjung, katanya pada pertemuan dengan Galeri.

Ketelitiannya dalam menghasilkan tulisan khat dapat dilihat menerusi karya Nama Allah dan Nama Nabi yang menggunakan akrilik berasaskan air dengan sentuhan moden termasuk pemilihan warna merah bagi menyerlahkan tulisan khat.

Begitu juga dengan Kebesaran Allah SWT yang dilihat seperti hasil pantulan pada cermin dengan menggunakan warna keemasan pada perkataan Allah.

Menceritakan pahit getir sepanjang menelusuri dunia lukisan, Hairull mengakui tidak mudah mencipta nama dalam dunia lukisan khususnya karya abstrak, potret dan seni khat meskipun selepas penggalian ilmu di Institut Bina Usahawan (Edi) sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini disebabkan industri seni tempatan mempunyai ramai nama besar, tetapi disebabkan minat yang mendalam untuk memperkembangkan karya abstrak, potret dan khat, akhirnya saya berjaya memiliki galeri hasil perkongsian dengan rakan, Abdul Aziz Alias.

Nasib menyebelahi saya apabila kebanyakan karya mendapat perhatian, malahan usaha menempatkan diri sebaris dengan pelukis mapan, mendapat perhatian Astro melalui program Merisik Khabar yang membantu meningkatkan ilmu seni melalui kelas intensif, katanya.

Justeru, beliau bakal menganjurkan pameran solo pada hujung tahun ini yang menampilkan karya potret dan abstrak melalui lakaran atas kanvas sebagai langkah permulaan menempatkaan diri sebaris pelukis mapan tempatan.


Video: cara menulis huruf ha' Khat thuluth dengan timbagan huruf. Bukan senang untuk menghasilkan khat bagi orang yang tidak tahu. Maka, tuntutlah ilmu itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan