Memaparkan catatan dengan label Islami. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Islami. Papar semua catatan

Isnin, 18 Oktober 2010

Busana Muslimah: Di mana Islamnya?

“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!” Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)? Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing? Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada [...]


“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”

Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)? Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing? Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah. Itulah BUSANA MUSLIMAH.

LANDSKAP 1990′AN
“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat. “Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.
“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya. “Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.

Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang. Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita. Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa. Tudung juga tidak banyak jenis. Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam. Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.

LANDSKAP SEMASA
Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah. Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya. Baguslah begitu.

Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah. Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.

PENTAKRIFAN

“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]

Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah? Bagaimana dengan batas-batas Aurat?
Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.


Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]

Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?


Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!
Di manakah Islamnya?

Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.

Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.
Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi? Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.


BEBAS
“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul. “Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain. Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN. Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan). Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya. Kami cemburu dengan agama kami.

BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.



Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]
FULL STOP!

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/
68000 AMPANG

Ahad, 22 Ogos 2010

penggiat seni-berkaligrafi

Galeri: Adunan khat Ramadan
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim ,Berita Harian Online

2010/08/20
Bantu Mohd Hairul Mohd Sin cipta nama

PENCINTA karya seni khat pasti puas jika berkunjung di Tenggiling Studio, Pasar Seni, Kuala Lumpur yang mengangkat keistimewaan seni kaligrafi Islam, bukan saja terpancar dari segi jenis khatnya, tetapi juga jiwa dan perasaan yang diadun dalam karya.

Sempena kedatangan Ramadan, pelukis, Mohd Hairul Mohd Sin, yang sebelumnya lebih gemar menghasilkan potret dan karya abstrak, memilih seni khat sebagai daya penarik untuk mendekatkan umat Islam dengan hasil kaligrafi bernafas keagamaan.
Kebiasaannya, karya seni khat seperti ini dibeli syarikat korporat untuk majlis rasmi, namun ada juga peminat lukisan meminta saya menghasilkan karya mengikut cita rasa mereka. Misalnya baru-baru ini saya menerima tempahan menulis surah Al-Fatihah berlatarkan pemandangan.
Bagi menampilkan kelainan berbanding karya pelukis mapan yang lain, saya masih menonjolkan keaslian tulisan khat, namun pada masa sama memilih warna segar dan moden untuk menarik perhatian pengunjung, katanya pada pertemuan dengan Galeri.

Ketelitiannya dalam menghasilkan tulisan khat dapat dilihat menerusi karya Nama Allah dan Nama Nabi yang menggunakan akrilik berasaskan air dengan sentuhan moden termasuk pemilihan warna merah bagi menyerlahkan tulisan khat.

Begitu juga dengan Kebesaran Allah SWT yang dilihat seperti hasil pantulan pada cermin dengan menggunakan warna keemasan pada perkataan Allah.

Menceritakan pahit getir sepanjang menelusuri dunia lukisan, Hairull mengakui tidak mudah mencipta nama dalam dunia lukisan khususnya karya abstrak, potret dan seni khat meskipun selepas penggalian ilmu di Institut Bina Usahawan (Edi) sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini disebabkan industri seni tempatan mempunyai ramai nama besar, tetapi disebabkan minat yang mendalam untuk memperkembangkan karya abstrak, potret dan khat, akhirnya saya berjaya memiliki galeri hasil perkongsian dengan rakan, Abdul Aziz Alias.

Nasib menyebelahi saya apabila kebanyakan karya mendapat perhatian, malahan usaha menempatkan diri sebaris dengan pelukis mapan, mendapat perhatian Astro melalui program Merisik Khabar yang membantu meningkatkan ilmu seni melalui kelas intensif, katanya.

Justeru, beliau bakal menganjurkan pameran solo pada hujung tahun ini yang menampilkan karya potret dan abstrak melalui lakaran atas kanvas sebagai langkah permulaan menempatkaan diri sebaris pelukis mapan tempatan.


Video: cara menulis huruf ha' Khat thuluth dengan timbagan huruf. Bukan senang untuk menghasilkan khat bagi orang yang tidak tahu. Maka, tuntutlah ilmu itu.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Bahaya mengabaikan Ulama’

Diriwayatkan dari Nabi Muhammad s.a.w :
“ Barangsiapa yang meremehkan lima perkara, maka dia akan rugi lima perkara, iaitu barangsiapa yang meremehkan para ulama’ maka rugi agamanya: barangsiapa meremehkan umara (para pemimpin) maka rugi dunianya: barangsiapa meremehkan jiran-tetangga, maka rugi manfaat-manfaatnya: barangsiapa meremehkan kerabat-kerabatnya, maka rugi kasih sayangnya, dn barangsiapa meremehkan isterinya, maka rugi kemanisan hidupnya”.

Mengabaikan ulama dapat mengakibatkan kerugian agama, sebab para ulama adalah sumber pengetahuan agama dan mereka juga pewaris nabi. Orang yang menghormati dan memuliakan ulama akan terjaga agamanya. Kerana selain mendapat berkat daripadanya juga akan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar ulama’

Dan Rasulullah s.a.w bersabda lagi :
“Sekali melihat kepada wajah orang yang berilmu, lebih aku sukai daripada beribadah satu tahun, penuh puasa siangnya, solat malam harinya”

“ Mahukah kamu sekalian aku beritahukan tentang siapa yang paling mulia diantara penghuni syurga?” Jawab para sahabat: Bahkan kami ingin tahu ya Rasulullah, Sabda Rasulullah : “ Adalah ulama-ulama, ajli ilmu dari umatku”

Sekarang jelaslah bahawa ilmu itu permata, yang lebih mulia daripada ibadah, tetapi ibadahpun tidak boleh tiada, ianya mesti dikerjakan yang disertai dengan ilmu. Jika tidak demikian, ilmunya itu akan menjadi debu yang berhamburan ditiup angina, sebab ilmu itu ibarat pohon dan ibadah ibarat buah, yang menjadikan pohon lebih mulia, kerana pohon itu pokok, tapi manfaatnya ialah buahnya. Oleh kerana itu, tidak dapat tidak, manusia mesti mempunyai kedua-duanya, yakni ilmu dan ibadah.

Oleh yang demikianlah al-Hasan al-Basri ada berkata :
“ Tuntutlah ilmu, tapi tidak melupakan ibadah dan kerjakanlah ibadah tapi tidak boleh lupa pada ilmu”

Adalah jelas bahawa manusia itu mesti memiliki kedua-duanya (ilmu dan ibadadh), bagaimanapun yang lebih diutamakan lebih dahulu ialah ilmu, sebab ia adalah sesuatu asas dan sebagai petunjuk. Bagaiman akan dapat beribadah jika tidak mengetahui cara-caranya? Kerana itulah Rasulullah s.a.w. bersabda sepertimana berikut :

“Ilmu itu imam bagi amal, sedangkan amal adalah sebagai makmumnya”

Isnin, 19 Julai 2010

terBAIK

Amirul Mukmin Ali bin Abi Thalib r.a berkata :
" Ilmu adalah sebaik-baik warisan, etika (adab) itu sebaik-baik pekerjaan, takwa itu sebaik-baik bekalan, ibadah adalah sebaik-baik perniagaan, amal soleh adalah sebaik-baik penuntun (menuju syurga), perangai terpuji adalah sebaik-baik teman (di dunia dan akhirat), sikap lemah lembut adalah sebaik-baik penolong, qana'ah adalah sebaik-baik kekayaan, taufik adalah sebaik-baik pertolongan dan kematian itu sebaik-baik pendidik menuju perangai terpuji"

Dalam perkara ini, umat islam digesa

KEPENTINGAN ILMU PENGETAHUAN DAN SUMBERNYA MENURUT ISLAM

1. Definisi Ilmu Pengetahuan

Perkataan ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada perkataan arab iaitu calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.

Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit
knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. (Noraziah Sharuddi, 2002)

Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata.
Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

2. Kepentingan Ilmu Pengetahuan

Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah;

2.1 Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"

2.2 Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"

2.3 Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”

2.4 Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh.

2.5 Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

2.6 Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.

2.7 Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia.

2.8 Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara kerana melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil.

3. Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan

Secara umumnya, sumber ilmu pengetahuan adalah diperolehi melalui wahyu, pancaindera, akal dan intuisi atau ilham.

1. Wahyu

Wahyu adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang hambanya yang dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemasalahatan hidup juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal pemikiran manusia.

2. Pancaindera

Semua pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan seumber pengetahuan yang utama dan amat berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat. Pancaindera kadangkala di dalam keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau penglihatan umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.

3. Akal

Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk, walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun ianya memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah s.w.t menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak menyebut seruan serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia dapat memerhatikan alam sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera bagi mencari kebenaran yang hakiki.

4. Intuisi atau Ilham

Intuisi atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia yang amat berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai masalah yang sedang menumpukan pemikiran nya terhadap penyelesaian masalah tersebut, tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu berfikir panjang seolah-olah kebenaran yang dicari datang sendiri. Dalam Islam ilham ini boleh dikenali dengan istilah "firasat" atau pun pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah kepada para Ulama.

Walaupun begitu, ada juga di kalangan sarjana yang berpendapat bahawa sumber ilmu itu datangnya juga daripada sumber lisan dan tulisan serta kajian sejarah. Ilmu yang diperolehi melalui sumber lisan wujud dalam sistem pendidikan secara tidak formal seperti ilmu pertukangan dan sebagainya yang diperolehi melalui warisan secara tidak langsung daripada keluarga atau masyarakat. Pengajaran-pengajaran secara lisan daripada tokoh-tokoh ilmu juga dianggap sebagai sumber lisan. Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui ilmu perubatan, matematik, dan undang-undang. Sementara ilmu yang diperolehi daripada kajian sejarah pula dapat dilihat melalui kajian-kajian dan penulisan-penulisan yang khusus tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku.

RUJUKAN

Al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin. t.th. Maucizah al-mu`minin min ihya` ulum al-din. t.tp : Maktabah Misr.

Khazali. (tanpa tarikh). Konsep Ilmu. http://khazalii.googlepages.com/udi30521konsepilmu [13 April 2008]

Noraziah Sharuddin. 2002. Forum memori korporat UTM. Skudai : Universiti Teknologi Malaysia